Tuesday, May 30, 2017

AYAT 1

Katakanlah (wahai Muhammad) : "Aku berlindung kepada Allah Pemulihara sekelian manusia.
(An-Nas 114:1)

Allah sebagai 'Rabb' bermaksud Dia Yang Maha Pencipta, Pemilik, Pemelihara, Penguasa, Pengatur dan Pemberi Rezeki. Dipamerkan kasih dan sayang Nya kepada makhluk ciptaan Nya dimana Dia sebagai Tuhan yang menciptakan.

Surah ini dimulakan dengan suatu perintah agar manusia memohon perlindungan daripada Nya. Ar-Rabb dalam surah ini membawa maksud yang luas termasuk mengarah, menjaga, membimbing, memelihara dan melindungi. Dengan kefahaman ini, membolehkan kita merasakan betapa dekatnya Allah SWT dengan kita. Tuhan yang mengenali diri kita lebih dari kita mengenali diri sendiri.


Pengakuan Allah selaku raja dan sembahan manusia juga sepatutnya membawa rasa takut kita kepada kekuasaan Nya yang mampu berbuat apa sahaja. Pada masa yang sama, kita turut diberikan harapan oleh Allah SWT yang rahmatnya tiada terbatas.



AYAT 2

"Yang Menguasai sekelian manusia,
(An-Nas 114:2)

Perkataan 'Al-Malik' bermakna Allah sebagai Raja (pemilik dari segala sesuatu yang ada di alam ini), yang Maha Memimpin, Menjaga, Menguasai dan Hakim (menggubal undang-undang) untuk manusia. Manusia tidak boleh mengambil undang-undang lain selain daripada  undang-undang ciptaan Nya.

Allah SWT sebagai Pemimpin, kita adalah hamba yang dibawah pimpinan Nya seperti Raja dan rakyat, maka segala apa yang ada dimuka bumi ini adalah tanah Allah, kerajaan Allah buka milik sesiapa. Negara ini (tanah yang kita duduki) bukan milik kita tetapi milik Allah dan Allah telah mengatur sistem undang-undang yang perlu dilaksanakan di tanah Nya.


AYAT 3

"Tuhan yang berhak disembah oleh sekelian manusia,
(An-Nas 114:3)

Tuhan (Al Ilah) sembahan manusia pula mengandungi erti bahawa Allah lah yang paling dicintai, yang paling ditakuti dan ditaati, sebagai sumber pengharapan dan satu-satunya Zat yang berhak disembah dan diibadahi. Tidak ada pergantingan lain melainkan pergantungan hanya kepada Allah SWT.

Firman Allah :
"Dan tidaklah mereka itu diperintahkan, kecuali menyembah ILAH yang Esa yang tiada ILAH melainkan Dia. Maha Suci (Allah) dari apa yang mereka sekutukan dengan Dia."

Ringkasnya, implikasi kalimah La Ilaha Illallah ialah seluruh hidup mestilah berterusan di dalam ubudiyyah kepada Allah SWT. Tiada sebarang pengabdian atau ketaatan yang berdiri sendiri bahkan semua tindakan, perbuatan dan khidmat yang diberikan mestilah terpancar dan bersumber daripada ketundukan dan kepatuhan kepada Allah SWT semata-mata.


AYAT 4

"Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam,
(An-Nas 114:4)

Makna ' Al was-was' adalah bisikan, manakala 'Al Khannas' adalah yang betul-betul tersembunyi, samar dan mundur. Syaitan selalu membisikkan hasutan-hasutan yang menyesatkan manusia ketika manusia leka dan lalai dari berzikir kepada Allah SWT.



Sebagaimana firman Allah :


Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.
(Az-Zukhruf 43:36)

Adapun ketika seorang hamba berzikir kepada Allah SWT, maka syaitan bersifat 'khannas' iaitu 'mundur' dari perbuatan yang menyesatkan manusia. Sebagimana firmannya :


Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.
(Al-Nahl 16:99)




AYAT 5

"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia,
(An-Nas 114:5)
Syaitan selalu berupaya menghembus bisikan dan perasan was-was kepada manusia. Mereka menghiasi kebatilan sedemikian indah dan menarik serta mengubah kebenaran dengan segala yang buruk sehingga seakan-akan yang batil itu nampak benar dan yang benar itu nampak batil.

Perangai Syaitan ini telah bermula dari zaman Nabi Adam dan isterinya Hawa lagi, sebagaimana firmannya : 

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata : "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)."
(Al-A'raaf 7:20)


KISAH RASULULLAH

Ketika Rasulullah SAW sedang beri'tikaf, Syafiyyah binti Huyay (salah seorang isteri Baginda SAW) mengunjunginya pada malam hari. Setelah berbincang beberapa ketika, maka Rasulullah SAW menghantarkannya pulang ke kediamannya. Namun perjalanan kedua-duanya dilihat oleh dua orang Al-Ansar. Kemudian syaitan menghembuskan ke dalam hati kedua-duanya perasaan was-was (curiga).

Rasulullah SAW melihat gelagat yang kurang baik dari kedua-duanya. Oleh itu Rasulullah SAW mengejarnya seraya bersabda :

"Tenanglah kamu berdua, dia adalah Syafiyyah binti Huyay. Mereka berdua berkata : "Maha Suci Allah, wahai Rasulullah. Maka Rasulullah bersabda :"Sesungguhnya syaitan mengalir ditubuh bani Adam sesuai dengan aliran darah, dan aku pula bimbang dihembuskan kepada kamu sesuatu keburukan."
(HR Muslim No 2175)

Demikianlah watak syaitan yang selalu menghembuskan bisikan-bisikan jahat ke dalam hati manusia. Apalagi Allah SWT dengan segala hikmah Nya telah mencipta 'pendamping' (dari kalangan jin) bagi setiap manusia, bahkan Rasulullah SAW juga ada pendampingnya.


Dari Abdullah bin Mas'ud ra, Rasulullah bersabda :

"Tiada seorangpun di antara kamu kecuali diberikan seorang 'qarin' (pendamping) dari kalangan jin." Para sahabat bertanya : "Termasuk Tuan juga ya Rasululllah ?" Jawab baginda : "Ya. Aku juga. Tetapi Allah telah melindungi aku dari godaannya sehingga akhirnya dia masuk Islam (menyerah). maka itu dia tidak pernah menyuruhku melainkan kepada kebaikan."
(Hadis Riwayat Muslim : 2814)




AYAT 6


"(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia."
(An-Nas 114:6)
Seterusnya, Allah mengingatkan kita bahawa yang melakukan bisikan ke dalam dada manusia tidak hanya dari golongan jin, bahkan dikalangan manusia pun boleh berperanan sebagai syaitan iaitu manusia yang zalim pada manusia lain, pengumpat dan pemfitnah yang tidak pernah kenyang memamah daging saudaranya sendiri serta mereka tenggelam dalam nafsu seranah.

"Apabila keldai Nabi SAW telah terjatuh, lau aku mengatakan, "celakalah syaitan" lalu Nabi bersabda : "Janganlah kamu katakan 'celaka syaitan' sebab jika kamu mengatakannya maka syaitan akan menjadi semakin besar tubuhnya dan mengatakan, 'Dengan kekuatanku, aku akan mengalahkannya.' Namun apabila kamu mengatakan 'Bismillah' maka dia akan mengecil sehingga menjadi sekecil lalat."
(HR Ahmad)

Maka salah satu jalan keluar dari bisikan dan godaan syaitan, baik dari kalangan jin dan manusia adalah sebagaimana firman Allah SWT :

Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang maha mendengar, lagi Maha mengetahui.
(Fussilat 41:36)