"Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia,
(An-Nas 114:5)
Syaitan selalu berupaya menghembus bisikan dan perasan was-was kepada manusia. Mereka menghiasi kebatilan sedemikian indah dan menarik serta mengubah kebenaran dengan segala yang buruk sehingga seakan-akan yang batil itu nampak benar dan yang benar itu nampak batil.
Perangai Syaitan ini telah bermula dari zaman Nabi Adam dan isterinya Hawa lagi, sebagaimana firmannya :
Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata : "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)."
Ketika Rasulullah SAW sedang beri'tikaf, Syafiyyah binti Huyay (salah seorang isteri Baginda SAW) mengunjunginya pada malam hari. Setelah berbincang beberapa ketika, maka Rasulullah SAW menghantarkannya pulang ke kediamannya. Namun perjalanan kedua-duanya dilihat oleh dua orang Al-Ansar. Kemudian syaitan menghembuskan ke dalam hati kedua-duanya perasaan was-was (curiga).
Rasulullah SAW melihat gelagat yang kurang baik dari kedua-duanya. Oleh itu Rasulullah SAW mengejarnya seraya bersabda :
"Tenanglah kamu berdua, dia adalah Syafiyyah binti Huyay. Mereka berdua berkata : "Maha Suci Allah, wahai Rasulullah. Maka Rasulullah bersabda :"Sesungguhnya syaitan mengalir ditubuh bani Adam sesuai dengan aliran darah, dan aku pula bimbang dihembuskan kepada kamu sesuatu keburukan."
Demikianlah watak syaitan yang selalu menghembuskan bisikan-bisikan jahat ke dalam hati manusia. Apalagi Allah SWT dengan segala hikmah Nya telah mencipta 'pendamping' (dari kalangan jin) bagi setiap manusia, bahkan Rasulullah SAW juga ada pendampingnya.
Dari Abdullah bin Mas'ud ra, Rasulullah bersabda :
"Tiada seorangpun di antara kamu kecuali diberikan seorang 'qarin' (pendamping) dari kalangan jin." Para sahabat bertanya : "Termasuk Tuan juga ya Rasululllah ?" Jawab baginda : "Ya. Aku juga. Tetapi Allah telah melindungi aku dari godaannya sehingga akhirnya dia masuk Islam (menyerah). maka itu dia tidak pernah menyuruhku melainkan kepada kebaikan."
(Hadis Riwayat Muslim : 2814)